JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita berkongsi idea bernas untuk menyeterika pakaian suaminya ketika bekalan elektrik di rumah terputus lebih 17 jam, lapor laman berita Suara.com.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @hariankopas.
“PLN (bekalan elektrik) terputus selama lebih 17 jam pada Isnin, tetap perlu menyeterika pakaian,” demikian keterangan dalam klip video berkenaan.
Wanita itu bertindak memanggang seterika elektrik miliknya di atas sebuah dapur gas selama beberapa minit sehingga panas.
Dia kemudian menggosok pakaian suaminya menggunakan seterika tersebut.
Tindakan itu membantunya menyelesaikan masalah bekalan elektrik kerana suaminya memerlukan pakaian untuk keluar bekerja.
Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Boleh mencubanya untuk seterika yang sudah rosak, kalau masih berfungsi, lebih baik jangan,” kata seorang netizen.
“Inilah yang saya lakukan berpuluh-puluh tahun lalu apabila terlupa menggosok baju sekolah tetapi bekalan elektrik terputus pada waktu pagi,” komen netizen lain. – Agensi