PETALING JAYA- Pas menegaskan Parlimen tidak wajar dibubarkan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira faktor pemulihan ekonomi negara.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada keperluan menyegerakan pembubaran Parlimen berdasarkan jangkaan musim tengkujuh dan keadaan itu akan menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.
“Pas akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik serta tokoh masyarakat ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.
“Perbincangan dan rundingan ini bertujuan untuk mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH),”katanya.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan kepentingan negara dan rakyat akan didahulukan walau dalam apa jua keadaan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong khususnya melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan. – KOSMO! ONLINE