SHAH ALAM – Sebuah premis yang menjadi gudang penyimpanan losen dan minyak wangi tiruan di Taman Prima Selayang, Batu Caves, di sini diserbu semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor itu merampas produk itu yang dianggarkan RM13,350.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat semasa serbuan kerana premis tidak berpenghuni.
Pengarah KPDNHEP Selangor , Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, tindakan itu hasil aduan dan pengesahan awal yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung terdapat sebuah premis yang dijadikan tempat simpanan barangan yang disyaki tiruan.
Katanya, jenis barangan yang disyaki tiruan adalah barangan penjagaan diri iaitu losen dan minyak wangi sebuah jenama terkenal.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, premis tanpa nama ini didapati dijadikan tempat penyimpanan barangan untuk tujuan perdagangan.
“Pasukan pemeriksa turut mendapatkan pengesahan dan pengecaman awal daripada wakil pemilik cap dagang yang hadir bersama ke atas kesemua barangan yang diadu yang disyaki guna cap dagang tanpa kebenaran (tiruan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti tersebut.
Mohd. Zuhairi menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu atau perseorangan,” katanya. -KOSMO!ONLINE