fbpx

PM Britain ‘larang’ Raja Charles III hadiri sidang iklim di Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Charles bersetuju dengan saranan Truss untuk tidak hadir di COP27 pada November ini. - Sky News

LONDON – Perdana Menteri  Liz Truss dilaporkan melarang monarki Britain, Raja Charles III daripada menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (COP27), lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Perhimpunan tahunan bagi membincangkan persekitaran global itu dijangka berlangsung di Sharm El Sheikh, Mesir pada November ini.

Keputusan agar Charles tidak menghadiri persidangan tersebut disahkan oleh Istana Buckingham.

Meskipun baginda sangat komited kepada kerja amal berkaitan pemuliharaan  alam sekitar semasa bergelar Prince of Wales, namun keadaan berubah apabila Putera Charles menduduki takhta.

Keputusan Raja Charles III untuk tidak hadirkan diri itu dijelaskan oleh Menteri Perikanan dan Pertanian, Mark Spencer sebagai persetujuan bersama antara pihak istana dan  Kabinet selepas mengambil kira kepentingan negara.

Spencer turut mencadangkan supaya Putera William yang kini mengisi posisi lama Raja  Charles III  sebagai Putera Wales untuk menggantikan tempat ayahandanya di COP27.

“Sebagai raja baharu, Charles perlu mempertimbangkan dengan teliti lawatan ke luar negara pertama oleh baginda dan pihak istana bersama Perdana Menteri bersetuju bahawa COP27 bukanlah acara terbaik.

“Memandangkan Raja Charles III kini mempunyai keutamaan lain sebagai raja, Putera William sepatutnya boleh diminta untuk meneruskan legasi ayahandanya sebagai Putera Wales yang baharu,” kata Spencer.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara bagi Penambahbaikan, Perumahan dan Komuniti United Kingdom, Simon Clarke menafikan bahawa Truss memberi arahan langsung agar Raja Charles III tidak terlibat dengan COP27.

“Ia adalah keputusan yang dibuat secara berasingan tetapi akhirnya dipersetujui bersama apabila baginda dan Perdana Menteri bermesyuarat buat kali pertama pada bulan lalu,” tegas Clarke.

Sementara itu, sumber rapat kepada Truss turut menolak dakwaan tersebut sambil memaklumkan,  ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk Perdana Menteri memberi arahan kepada raja. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI