SINGAPURA – Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen mengakui dia langsung tidak menikmati perlumbaan di Grand Prix (GP) Singapura selepas bergelut ketika beraksi di Litar Marina Bay malam kelmarin.
Pelumba Belanda tersebut mengakui dia melakukan kesilapan selepas cubaanya untuk memintas Lando Norris dari McLaren gagal dilaksanakan hingga terpaksa menukar tayar baharu.
Tindakan agresif tersebut menyebabkan Verstappen terpaksa memulakan saingan di belakang dan sekadar mampu menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Keputusan tersebut menyebabkan dia terpaksa menangguhkan pesta meraikan gelaran dunia Formula Satu (F1) lebih awal di Singapura.
Bagaimanapun, Verstappen masih kekal mendahului carta kedudukan pemandu selepas mengumpul 341 mata dan hanya memerlukan lapan mata untuk mengatasi pemandu Ferrari, Charles Leclerc bagi mengesahkan kejuaraan di Suzuka, minggu depan.
Ketika ini, Leclerc yang menamatkan saingan tempat kedua di Singapura berada di tangga kedua keseluruhan selepas mengumpul 237 mata.
“Saya tak menikmati perlumbaan ini. Saya melakukan kesilapan dan gagal untuk memintas Norris. Saya terpaksa menekan brek dan tayar benar-benar rosak. Saya terpaksa masuk ke pit semula.
“Begitupun, saya tetap berjaya mengutip mata, tetapi ia sudah tentu bukan apa yang kami mahukan. Ketika ini saya masih mendahului 104 mata, tetapi secara keseluruhan ia adalah hujung minggu yang sangat mengecewakan,” katanya.
Verstappen bakal dinobatkan sebagai juara dunia F1 2022 sekiranya dia melakar kemenangan di Grand Prix (GP) Jepun.
Namun, Verstappen tidak akan merangkul gelaran itu di Jepun jika dia sekadar menamatkan saingan di luar kelompok enam terbaik. – AGENSI