KUALA TERENGGANU – Pengunjung konsert Karnival Jom Heboh yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada hujung minggu ini akan diasingkan antara lelaki dan perempuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, peraturan itu selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu.
Beliau berkata, selain konsert itu perlu dipastikan patuh syariah dengan hanya artis lelaki dibenarkan membuat persembahan.
“Artis dan petugas wanita yang menjaga reruai (gerai pameran dan jualan) pula diwajibkan memakai tudung serta menutup aurat dengan sempurna sepanjang program tersebut berlangsung.
“Ia telah dimaklumkan kepada penganjur Karnival Jom Heboh dan mereka telah bersetuju untuk mematuhinya,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan menerima kecaman apabila sebahagian penonton dilihat menari terkinja-kinja mengikut rentak lagu.
Selain itu, tular pula video sebuah konsert tidak jauh dari Masjid Zahir, Alor Setar Kedah yang turut memaparkan aksi penonton sedang melompat dan menari sehingga mencetuskan rasa kurang senang ramai pihak.
Ariffin juga berharap pengunjung karnival terutama konsert berkenaan dapat mengawal tingkah laku agar tidak terlalu teruja berhibur hingga melanggar garis panduan ditetapkan Islam.
Jelasnya, pengunjung konsert perlu bersikap rasional dengan berhibur dalam ruang lingkup sederhana tanpa perlu menari atau melompat.
“Apatah lagi, sehari selepas konsert tersebut diadakan, umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul. Saya harap nama baik Terengganu tidak akan tercemar dengan sebarang insiden tidak diingini pada konsert itu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE