PUTRAJAYA – Tiada kesepakatan antara waris, sering berlaku perbalahan tentang hak masing-masing dan waris merasakan proses tuntutan harta pusaka terlalu rumit untuk diuruskan.
Itu antara alasan yang didedahkan menyebabkan banyak isu harta pusaka tidak dituntut yang dihadapi umat Islam di Malaysia.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi berkaitan.
Idris berkata, sikap tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut.
“Isu tidak mengurus tuntutan harta pusaka ini amatlah membimbangkan,” katanya
Ujar beliau, ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyusun dan mencari mekanisme terbaik untuk memudahkan pengurusan harta pusaka di Malaysia.
Idris berkata, satu perbincangan khusus juga telah diadakan hari ini bagi membincangkan isu berkenaan yang disertai Jabatan Ketua Pengarah, Tanah dan Galian (JKPTG), Amanah Raya Berhad (ARB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
“Ia turut disertai Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Peguam Negara(AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan(MSWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) serta ahli akademik.
“Saya mendengar dan mengamati setiap pembentangan daripada kesemua agensi berkenaan, pelbagai input dipersembahkan dalam memperkasakan dasar dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam masyarakat kita hari ini.
“Mudah-mudahan perbincangan ini mencapai objektif yang digariskan seterusnya dapatan-dapatan yang diperoleh dapat dijadikan panduan oleh agensi kerajaan amnya dan masyarakat khususnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE