BRUSSELS, BELGIUM – Presiden sembilan buah negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan sokongan penuh kepada bidaan Ukraine untuk menjadi anggota perikatan tentera tersebut, lapor laman berita RT semalam.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan dua hari selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan hasrat Kiev untuk memohon keahlian pantas NATO.
“Kami berdiri teguh di bawah keputusan Persidangan NATO Bucharest 2008 berkaitan dengan keahlian Ukraine pada masa akan datang,” kata Presiden Republik Czech, Estonia, Latvia, Lithuania, Macedonia Utara, Montenegro, Poland, Romania dan Slovakia.
Ketika persidangan tersebut pada 2008 itu, ahli-ahli NATO mengalu-alukan aspirasi keanggotaan NATO bagi Ukraine dan Georgia, namun tidak memberikan sebarang tempoh masa tertentu untuk penyertaan tersebut.
“Kami menyokong Ukraine dalam pertahanannya menentang pencerobohan Russia, menggesa Moscow agar segera berundur dari wilayah-wilayah yang dikuasainya serta menggalakkan semua negara NATO meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Kiev,” kata kenyataan sama.
Barisan pemimpin NATO turut berkata, mereka tidak akan mengiktiraf cubaan Moscow untuk merampas mana-mana wilayah Ukraine sekali gus merujuk kepada empat wilayah Kiev yang menyertai Persekutuan Russia.
Sementara itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg ketika mengulas mengenai bidaan Ukraine untuk menyertai pakatan tersebut berkata, sebarang keputusan berkenaan keahlian perlu mendapat persetujuan kesemua 30 ahli blok itu.
Dengan menekankan dasar pintu terbuka NATO, Stoltenberg berkata, buat masa ini, kepentingan utama blok tersebut adalah untuk menyokong Ukraine dari segi ketenteraan dan kewangan.
Beliau turut percaya bahawa ia merupakan cara terbaik untuk bertindak balas terhadap serangan Russia. – Agensi