LONDON – Pakar-pakar kesihatan Britain memberi amaran bahawa negara itu sebenarnya memasuki gelombang baharu Covid-19 secara senyap dengan varian baharu menular tanpa disedari, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Situasi koronavirus di Britain dijangka bertambah buruk menjelang ketibaan musim tidak lama lagi terutama apabila kadar ujian saringan Covid-19 semakin berkurangan.
Menurut data terkini kerajaan, peratusan orang yang diuji positif Covid-19 terus meningkat di England untuk minggu berakhir 17 September lalu, bermakna kira-kira satu dalam setiap 65 penduduk Britain kini dijangkiti virus Covid-19.
Kira-kira 1.1 juta isi rumah diuji positif Covid-19 dalam tinjauan terbaharu selama tujuh hari hingga 17 September lalu di England dan pada minggu yang berakhir 30 September lepas di Wales, Scotland dan Ireland Utara, demikian menurut Pejabat Statistik Kebangsaan ( ONS ).
Meskipun jumlah 1.1 juta itu jauh lebih rendah berbanding angka 3.8 juta jangkitan semasa kemuncak gelombang Omicron BA.4 dan BA.5 pada Julai 2022, namun ia masih berisiko menjadi permulaan kepada situasi yang lebih dahsyat.
Pengasas bersama aplikasi Covid ZOE, Profesor Tim Spector berkata, Britain sudah berada di permulaan gelombang koronavirus seterusnya.
“Nampaknya kita berada dalam permulaan gelombang seterusnya dan kali ini ia memberi kesan lebih awal kepada warga emas berbanding gelombang terakhir.
“Ramai orang masih menggunakan garis panduan kerajaan sebelum ini dan mereka silap. Pada masa ini, simptom Covid-19 yang paling jelas sakit kerongkong.
“Simptom demam dan hilang bau sangat jarang berlaku sekarang dan kemungkinan ramai orang tua tidak menyangka mereka dijangkiti Covid-19. Mereka akan menganggap ia adalah selsema dan tidak membuat ujian pengesanan,” tegas Spector. – Agensi