MANCHESTER – Hanya kegagalan Norway ke Piala Dunia menjadi cerita kurang enak buat Erling Haaland yang kini diangkat sebagai pemain terbaik dunia ketika merekodkan hatrik untuk membantu Manchester City menewaskan Manchester United 6-3 di Etihad, kelmarin.
Kehadiran Haaland jelas menambahkan lagi kekuatan City ketika Phil Foden juga mencetuskan sensasi apabila turut merekodkan hatrik memberikan kemenangan bermakna buat pengurus pasukan itu, Pep Guardiola.
Haaland melengkapkan hatrik ketiganya di Etihad secara berturut-turut selepas melakukannya pada aksi Crystal Palace dan Nottingham Forest sekaligus memastikan gol ke 14 di Liga Perdana Inggeris setakat ini
“Realitinya, apa yang Erling lakukan ini adalah sama dengan apa sudah dilakukannya di Norway, Austria dan juga Jerman. Dengan kualiti yang dimilikinya, ia jelas membantu dia menjaringkan gol.
“Dia tahu bagaimana untuk menjaringkan gol, bagaimana mahu bergerak dan memiliki naluri luar biasa. Saya tidak pernah mengajarnya semua itu dan ia dapat semua itu daripada ibu bapanya sendiri,” kata Guardiola
Lebih menarik, tiga gol Haaland ini menjadikan bintang antarabangsa Norway ini sebagai pemain pertama yang berjaya melakukan hatrik ketika menentang United sejak Francis Lee melakukannya pada 1970.
Prestasi semasanya bakal menyaksikan Haaland menjadi pencabar utama kehebatan penggempur sensasi Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe sekali gus mengulangi perseteruan antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebelum ini.
“Apa yang boleh saya katakan apabila pasukan menjaringkan enam gol adalah luar biasa. Untuk meraih kemenangan di gelanggang sendiri dengan enam gol jelas sesuatu yang hebat.
“Apa yang saya sukakan tentang pasukan ini adalah kami sentiasa mahu ke depan dan terus melakukan serangan,” kata Haaland. – AGENSI