fbpx

Dua beradik yatim piatu lepas bapa lemas jatuh bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI ALIYA (kanan) dan adiknya, Muhammad Adam menunjukkan gambar kenangan bersama bapa mereka.

GEORGE TOWN – Seorang nelayan yang ditemui mati selepas 24 jam dilaporkan hilang di laut akibat terjatuh dari bot dalam kejadian Sabtu lalu dikatakan kerap meninggalkan pesa­nan kepada anak sulungnya setiap kali meninggalkan rumah.

Mayat Mohamad Shahrul Mansor, 37, sebelum itu ditemui terdampar di pantai Pulau Jerejak sekitar pukul 12.45 tengah hari kelmarin.

Mangsa yang tinggal di Kampung Baru, Simpang Ampat Tasik, Seberang Perai Selatan itu dikatakan keluar menangkap ikan bersama empat rakannya dari Jeti Bukit Tambun ke perairan berhampiran kira-kira pukul 9.30 pagi, Sabtu lalu.

ANGGOTA APMM ketika membawa mayat seorang nelayan yang ditemui di pantai Pulau Jerejak, Pulau Pinang semalam.

Kakak kedua mangsa, Fazilah Mansor, 43, berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku daripada penduduk kampung kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu.

“Kami diberitahu yang kejadian berlaku ketika angin kuat pada petang Sabtu lalu. Arwah terjatuh dari sampan dan telah hilang dibawa arus.

“Kami adik-beradik terkejut dengan berita kematian Shahrul yang merupakan adik keempat dari tujuh beradik. Dia baru tiga tahun kehilangan isteri yang ketika itu sedang hamil lima bulan.

“Selepas kematian isteri, dia hanya tinggal bersama dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun. Memang nampak perubahan dirinya selepas kematian isteri. Dia sudah kurang bercakap berban­ding dahulu,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Fazilah berkata, kali terakhir Mohamad Shahrul berhubung dengannya adalah menerusi WhatsApp pada Selasa minggu lalu.

“Memang tak nampak sebarang perubahan sikap sebelum dia meninggalkan kami adik-beradik termasuk dua anaknya yang masih bersekolah.

“Cuma dia selalu berpesan kepada anak sulungnya iaitu Pu­teri Aliya Natasha supaya menjadi adiknya, Muhammad Adam Zakuan setiap kali hendak keluar rumah.

“Kami terkejut dengan berita kematiannya, namun reda dengan ketentuan Illahi. Ketika ini, kami sekeluarga masih dalam perbincangan berhubung urusan penjagaan dua anak arwah,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Mohamad Shahrul selamat dikebumikan pada pukul 11.30 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Simpang Ampat Tasik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI