SHAH ALAM – Seorang bekas ketua gudang syarikat logistik tempatan direman empat hari bagi membantu siasatan menerima suapan keseluruhan RM20,000 dalam tempoh tiga tahun bermula 2019 daripada sebuah syarikat pembekal tenaga kerja.
Ini sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembekalan tenaga kerja bernilai kira-kira RM5 juta bagi tempoh dua tahun.
Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Razali terhadap suspek berusia 39 tahun selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.
Katanya, suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan itu ketika bertugas sebagai Ketua Gudang bagi tempoh antara 2019 hingga 2021.
“Siasatan awal turut mendapati habuan itu juga adalah sebagai balasan mempercepatkan tuntutan bayaran syarikat.
“Hasil siasatan awal turut mendapati syarikat itu tidak dimiliki atau mempunyai hubungan saudara dengan suspek,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. -KOSMO!ONLINE