fbpx

‘Cukup sekadar Siti Aishah kenal ibu, ayah dan dua abangnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIti FAIZAH bersama Muhammad Rodzi bergilir-gilir menjaga Siti Aishah yang kini bergantung pada alat bantuan pernafasan di rumahnya di Padang Tembak, Air Itam, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Berat mata memandang, berat lagi dugaan dihadapi sepasang suami isteri apabila bayi perempuan mereka menghidap masalah jantung berlubang dan kerosakan saraf belakang badan.

Lebih menyedihkan bayi berkenaan, Siti Aishah Fatimah Muhammad Rodzi, 10 bulan merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan yang memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi di rumah.

Siti Faizah Abu Bakar, 36, yang bekerja sebagai jururawat berkata, dia dan suaminya, Muhammad Rodzi Haron, 46, terpaksa bergilir-bergilir menjaga Siti Aishah yang kini bergantung penuh pada alat bantuan pernafasan (CPAD) dan tiub susu.

“Suami yang sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bayan Lepas terpaksa berhenti kerja demi Siti Aishah dan seorang lagi anak kami berusia lapan tahun yang merupakan autisme.

“Kami berdua kena kuat dan tabah dalam menempuh setiap ujian lebih-lebih lagi selepas doktor mengesahkan bayi kami menghidap masalah penglihatan kekal.

“Memang diakui pada mulanya kami sedih melihat keadaan kesihatan bayi yang kerap dimasukkan ke hospital. Hampir sebulan saya ‘down’ sejurus doktor memaklumkan perkara itu selepas usia bayi baru dua minggu,” katanya di sini semalam.

Beritahu Siti Faizah lagi, dia dan suami bagaimanapun tetap bersyukur apabila dikelilingi ahli keluarga dan rakan kerja yang sentiasa membantu serta memberi sokongan moral terhadap mereka.

“Julai lalu, doktor sekali lagi memaklumkan paru-paru kanan Siti Aishah membengkang dan perlu bergantung pada CPAD sehingga ke hari ini.

“Sedih lihat keadaan anak. Sebagai ibu, saya mengharapkan agar dia kembali sihat seperti kanak-kanak lain walaupun penglihatan tidak nampak.

“Cukup sekadar dia mengenali saya ibunya, ayah dan dua abangnya serta dapat berjalan dan berdikari apabila besar nanti,” jelasnya.

Katanya, dia telah memohon bantuan bulanan termasuk peralatan perubatan dari pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan jika berjaya dapat mengurangkan beban kewangan ditanggung mereka.

Maklumat lanjut berhubung bantuan atau sumbangan bolehlah menghubungi Siti faizah ditalian 019-527 4106/010-558 5820 (Muhammad Rodzi) atau terus ke akaun Maybank 158248353186 (Siti Faizah Abu Bakar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI