fbpx

Bajet 2023 perlu sertakan usaha baik pulih sekolah daif – Radzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi beramah mesra bersama murid-murid ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) berharap Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini akan memberi tumpuan kepada usaha baik pulih ratusan sekolah daif di seluruh negara.

Menteri Kanannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara tersebut merupakan antara 11 inisiatif yang telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan peruntukan.

“Jika boleh kita mengharapkan ada dana untuk sekolah skala tujuh yang dikategorikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat diduduki,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut di kantin Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod kementerian tersebut, dianggarkan terdapat hampir 700 buah sekolah daif di seluruh negara dengan sebahagian besarnya terletak di kawasan pedalaman di Sarawak iaitu sebanyak 351 buah sekolah daif manakala 107 lagi disahkan sebagai berskala tujuh.

Sementara 244 buah lagi adalah skala enam iaitu memiliki bangunan tidak selamat dengan pengesahan teknikal daripada Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, selain aspek prasarana pendidikan, segala inisiatif yang dikemukakan untuk Bajet 2023 turut merangkumi elemen pembangunan kluster murid dan guru.

“Bagi tenaga pendidik, kita berharap semua cikgu akan dapat peranti bagi menaik taraf proses pengajaran dan pembelajaran sejajar misi bagi mencapai transformasi pendigitalan,” katanya.

Pada masa sama, kementerian berkenaan juga berharap ada peruntukan untuk penambahbaikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang agak kurang enrolmen pelajar.

Masalah itu katanya, perlu diatasi segera kerana jika tidak, Malaysia akan berdepan masalah kekurangan profesional dalam aliran tersebut sebagai modal insan pembangunan negara.

Usaha itu jelas Radzi, termasuk bajet untuk 84 buah Kolej Vokasional di seluruh Malaysia bagi melahirkan puluhan ribu graduan yang berkemahiran tinggi untuk memasuki pasaran buruh.

Tidak ketinggalan isu Rancangan Makanan Tambahan yang ketika ini kadar hidangan seorang murid ditetapkan RM2.50 sejak 2016 sebagai amat rendah dan membebankan pengusaha kantin.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI