fbpx

12,000 idea belia diterima menerusi IBN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bergambar bersama para pelajar pada sesi dialog anak muda sewaktu Majlis Perasmian Idea Bina Negara IBN 2022 di Dewan Tuanku Canselor UITM, Shah Alam, Selangor pada hari ini. -Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Sebanyak 12 peratus golongan belia menyumbang idea dan menyuarakan isu berkaitan politik negara menerusi platform Idea Bina Negara (IBN).

Jumlah itu meliputi keseluruhan 57.9 peratus belia berusia 18 hingga 21 tahun yang merupakan penyumbang idea terbesar aplikasi digital tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, IBN membuka ruang dan peluang kepada anak muda menyalurkan pendapat serta menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

“Saya difahamkan bahawa aplikasi itu telah menerima lebih daripada 12,000 idea anak-anak muda di seluruh negara.

“Kira-kira 12 peratus menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan platform IBN Anak Muda di hadapan 4,000 mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

IBN merupakan platform digital bagi menghimpunkan pelbagai pandangan, idea dan input bermanfaat daripada Keluarga Malaysia terutama belia bagi penyediaan Bajet 2023 serta aspirasi belia ke arah pembangunan negara secara umum.

Sehingga 30 September lalu, sebanyak 12,794 idea daripada 10,090 responden berjaya dikumpulkan sekali gus melebihi sasaran awal ditetapkan.

Jelas Ismail Sabri, analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (Ai) menunjukkan bahawa idea diajukan melalui IBN itu bersifat positif dan membina.

Tambah beliau, berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi, ia akan membantu kerajaan menyediakan inisiatif dan insentif bersesuaian bagi golongan muda.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan itu ketika ini apabila 46.2 peratus belia hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

“Kerajaan sudah memperkenalkan inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan selain membenarkan majikan menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank khusus belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

“Peruntukan RM4.8 bilion pula disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dengan 600,000 peluang pekerjaan disediakan kepada golongan muda menerusi karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI