fbpx

Queenie tunggu Disember pecah rekod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUEENIE menunjukkan prestasi konsisten biarpun gagal menaiki podium pada Piala Cabaran Olahraga di Jepun kelmarin.

KUALA LUMPUR – Pemegang rekod lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni masih mempunyai peluang untuk memperbaharui catatan kebangsaan miliknya sebelum berakhirnya saingan olahraga tahun ini.

Queenie, 24, mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 52.36 meter (m) ketika meraih pingat perak Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam pada Mac lalu.

Enam kejohanan seterusnya menyaksikan Queenie hanya sekali dapat mengatasi jarak 50m iaitu 51.32m sewaktu Sukan Sukan Institusi Pengajian Tinggi di Tanjung Malim, Perak pada Ogos lalu.

Jurulatihnya, Mohamad Ali Hamid tidak bimbang kerana anak didiknya itu konsisten dan berada pada landasan tepat untuk mencapai kemuncak prestasi pada Disember nanti.

“Ini adalah pembuka musim baharu 2022/2023 bagi Queenie. Catatan terakhir pada macrocycle 3 sebelum ini adalah 47.73m dilakukan di Kejohanan All Comers Perak pada Februari lalu.

QUEENIE (tiga dari kiri) bersama barisan atlet yang menyertai Piala Cabaran Olahraga di Jepun kelmarin.

“Kemudian prestasinya memuncak di Sukan SEA Hanoi dengan rekod kebangsaan 52.36m. Jadi, saya jangka macrocycle 1 bagi musim 2022/2023 adalah pada Grand Final Sirkit IPT dari 15 hingga 18 Disember nanti.

“Kebiasaannya kitaran macrocycle dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Atlet berupaya melakukan catatan lebih baik sehingga lima meter dalam setiap macrocycle,” katanya.

Sepanjang enam kejohanan sejak Sukan SEA Hanoi, Queenie berjaya meraih pingat emas sebanyak empat kali termasuk Sukan Universiti ASEAN 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand pada Julai lalu.

Queenie cuma dua kali terlepas podium iaitu Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turki pada Ogos dan Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI