Minggu yang sangat penting kepada Malaysia. Kerajaan akan membentangkan Bajet 2023 Jumaat ini. Itu pun jika kerajaan tidak dibubarkan sebelum 7 Oktober.
Mari kita anggap pembubaran kerajaan akan berlaku beberapa hari selepas bajet dibentangkan. Bajet adalah perkara biasa sama ada kepada kerajaan atau syarikat.
Ia unjuran dan peruntukan perbelanjaan untuk tahun akan datang serta anggaran pendapatan yang akan diterima. Seperti juga bajet keluarga.
Gaji dan anggaran perbelanjaan isi rumah, hutang dan sebagainya.
Dua perkara utama yang akan menjadi perhatian. Sama ada bajet kali ini untuk memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat ekoran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Itu sudah pasti kerana tiada kerajaan memasuki PRU dengan tidak memberi insentif. Liz Truss sebaik menjadi Perdana Menteri UK meluluskan subsidi GBP80 bilion untuk subsidi tenaga. Britain tiada minyak jadi kos elektrik naik kerana kenaikan penjanaan kuasa.
Kedua, sama ada kerajaan mempunyai pendapatan yang cukup bagi membiayai bajet. Berbelanja tanpa had seperti memasuki casino dengan buku cek tiada had akan menyebabkan negara muflis.
Ketika ini hutang negara mencecah RM1 trilion termasuk jaminan. Bayaran bunga sahaja (ini faedah dan bukan pokok) mencecah kira-kira RM20 bilion setahun.
Bayar hutang sahaja dijangka dalam lingkungan RM45 hingga RM50 bilion setahun.
Pendapatan negara dijangka dengan semua cukai hanya dalam RM165 bilion.
Pembayaran gaji dan pencen kakitangan kerajaan jika bajet bernilai RM335 bilion akan menghampiri RM100 bilion.
Tahun ini sahaja dikatakan subsidi bernilai RM80 bilion tetapi jumlah itu telah berkurangan kerana tiada siapa bercerita harga minyak sudah susut 37 peratus daripada AS$135 dan kelapa sawit merudum separuh.
Kita akan memasuki 2023 dengan dunia berdepan kemelesetan. Pendapatan negara akan terjejas.
Jika bajet ini masih memberikan ‘gula-gula’ dengan wang yang tidak ada, generasi masa depan akan mewarisi negara dengan hutang sebesar kapal Titanic.
Mereka yang merencana bajet harus sedar dan mengaku kita ada masalah. Ringgit telah menyusut 10 peratus tahun ini dan import kita daripada dagangan bernilai lebih RM1 trilion adalah 64 peratus yang dibayar dalam dolar Amerika.
Ada menteri membandingkan Malaysia dengan Britain mengenai inflasi dan kejatuhan GB pound. Tetapi purata pendapatan rakyat Britain adalah GBP39,000 dan harga Honda City paling murah GBP11,699.
Di Malaysia, pendapatan purata adalah RM36,000 tetapi harga Honda City adalah RM77,600.
Harga Honda di Malaysia adalah dua kali ganda pendapatan tahunan rakyat Malaysia tetapi di Britain ia hanya 30 peratus daripada gaji setahun penduduk UK.
Jadi mungkin kita perlu berhenti membandingkan Malaysia dengan negara lain kecuali rakyat negara ini dibayar gaji dalam matawang pound.
Daripada berbicara mengenai inflasi di UK yang juga ekonomi keenam terbesar di dunia, lebih baik usaha ditumpukan bagi menjadi Malaysia antara 20 ekonomi terbesar di dunia.
Hanya dengan itu purata gaji rakyat dapat dinaikkan dan membeli Honda City tidak terasa seperti membeli Rolls-Royce. Kita tidak boleh berbelanja wang yang kita tidak ada.
Mengenakan cukai sahaja bukan penyelesaian jika kekayaan negara tidak digandakan bagi membolehkan rakyat membayar cukai.
Mengaku kita berhadapan cabaran dan tanganinya, ubat terbaik untuk Malaysia daripada terus hidup di awang-awangan.