PETALING JAYA – Pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. melancarkan Roti Gandum Penuh dan Roti Mil Penuh dengan Gandum Ungu Kanada menerusi penjenamaan semula di bawah jenama Gardenia Breakthru.
Sempena pelancarannya secara rasmi hari ini, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang diperkenalkan sebagai Duta Gardenia Breakthru dengan janji jenama iaitu ‘Mengatasi Setiap Halangan’.
Azizulhasni berkata, beliau berbesar hati diberi kepercayaan dilantik sebagai Duta Gardenia Breakthru sekali gus menyifatkan ia satu tanggungjawab besar.
Katanya, sebagai pelumba basikal negara, perjalanan karier beliau juga selari dengan janji jenama Gardenia Breakthru tersebut.
“Mungkin sebahagian daripada anda tahu perjalanan saya untuk mencapai kejayaan bukan suatu yang mudah, malah berdepan perit dan getir dari pertama kali saya terlibat dalam sukan basikal.
“Halangan demi halangan dan saya hanya ada pilihan untuk meneruskan perjuangan serta melakukan yang terbaik. Ia bukan suatu perkara mudah, tetapi usaha tersebut berbaloi,” katanya pada sidang akhbar penjenamaan semula jenama Gardenia Breakthru dan pengenalan Duta Gardenia Breakthru di sini semalam.
Sehubungan itu, Azizulhasni berkata, pemilihannya sebagai duta bukan semata-mata mahu memupuk semangat mengatasi halangan, bahkan menyeru kepada amalan pemakanan menyihatkan selain kekuatan emosi untuk tidak berputus asa. – KOSMO! ONLINE.