MOSCOW – Seorang datuk bandar mendakwa bahawa seramai satu persepuluh penduduk lelaki Russia lebih rela pergi berperang kerana tidak tahan mendengar bebelan isteri mereka di rumah, lapor laman berita RT semalam.
Datuk bandar Vorkuta, Yaroslav Shaposhnikov berkata, kebanyakan sukarelawan yang tampil untuk pergi berperang di Ukraine adalah kerana mereka mahukan tempoh berjauhan daripada isteri yang suka membebel.
“Kira-kira 10 peratus sukarelawan pergi ke barisan hadapan kerana tidak tahan mendengar bebelan isteri masing-masing,” kata Shaposhnikov dalam satu diskusi online, Open Vorkuta.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana pengiraan 10 peratus itu dicapai.
Video ucapan Shaposhnikov pula menjadi tular di media sosial dan beliau menerima banyak kecaman mengenai kenyataan kontroversi tersebut.
Shaposhnikov bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan berkata, komen beliau dipetik di luar konteks oleh pihak media.
“Kata-kata saya diambil di luar konteks, malah ada yang memberi tafsiran sendiri. Anda perlu menonton video diskusi itu sepenuhnya tetapi secara umum, saya tetap dengan pendirian bahawa wanita adalah tonggak kepada suami dan perlu menyokong suaminya dalam apa jua keadaan,” katanya.
Russia mengisytiharkan kerahan askar simpanannya awal bulan ini untuk memperkukuh angkatan barisan hadapan menentang Ukraine.
Pada masa ini, Moscow berusaha menggerakkan 300,000 askar simpanan dengan memberi tumpuan kepada mereka yang pernah berkhidmat dalam tentera dan mempunyai pengalaman bertempur. – Agensi