fbpx

Kebocoran gas ammonia, pekerja kilang ais ditemui tidak sedarkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membuat pemeriksaan di sebuah kilang ais yang mengalami kebocoran gas dipercayai gas ammonia di Kuala Kedah pada pagi ini.

ALOR SETAR – Seorang pekerja kilang ais di Kuala Kedah dekat sini ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu gas ammonia pada pagi ini.

Lelaki berusia 40 tahun itu kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran menggunakan ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk mendapatkan rawatan awal.

Mangsa yang sedar seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan mengenai kebocoran gas ammonia pada pukul 6.18 pagi tadi.

“Sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja kemudian ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, pemantauan mendapati terdapat bau gas dipercayai gas ammonia yang sangat kuat.

“Komander operasi kemudian mengarahkan anggota memakai alat pernafasan dan membuka satu aliran hos serta membuat fire curtain bagi menghampiri kawasan kilang bagi mengenal pasti punca kebocoran,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pasukan keluaran operasi menemui seorang lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kawasan kilang.

“Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan dan kemudian ke HSB untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan di kilang dan kawasan sekitar masih dalam pemantauan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Kulim Hi Tech dengan turut dibantu pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Klinik Kesihatan Kuala Kedah menerusi hantaran di akaun Facebook kira-kira sejam lalu menyatakan bahawa pihak bomba memaklumkan kemungkinan terdapat kebocoran gas berbahaya dari kilang ais terletak bersebelahan klinik kesihatan tersebut.

“Oleh itu diingatkan supaya pesakit dan penduduk tidak berada di kawasan berhampiran sehingga mendapat pelepasan daripada pihak bomba.

“Jika terdapat tanda-tanda sesak nafas atau perlu rawatan kecemasan, tuan puan boleh terus ke Unit Kecemasan HSB,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI