Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio bersedia mengalihkan tumpuan untuk menjuarai Piala Malaysia setelah sah bergelar juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut kelmarin.
Walaupun baharu tiga bulan bersama skuad Harimau Selatan, Bidoglio sudah menambah dua koleksi piala buat JDT setelah memenangi Piala FA menewaskan Terengganu FC 3-1 dan mengesahkan kedudukan juara liga musim ini selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC 5-0.
Pengendali berusia 54 itu menyifatkan kemenangan itu adalah usaha keras pemain dan keyakinan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengendali kelab paling berjaya dalam negara itu.
“Terima kasih saya ucapkan kepada barisan pemain, barisan kejurulatihan serta Tunku Mahkota Johor yang membawa kepada kejayaan pasukan pada musim ini.
“Dari hari pertama, impian saya adalah untuk menjadi juara bermula dengan Piala FA diikuti gelaran juara liga. Tugas utama saya adalah membantu dari aspek taktikal setelah pemain sangat jelas dengan tugas masing-masing.
“Kejayaan ini membakar semangat pemain untuk berusaha keras untuk menjadi lebih pasukan yang lebih baik, tumpuan kita seterusnya adalah Piala Malaysia bagi melengkapkan musim gemilang buat JDT,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi masing-masing meledak dua gol, manakala satu gol lagi dihasilkan Leandro Velazquez membantu pasukan membelasah skuad Hobin Jang Hobin dengan kemenangan besar itu.
Kemenangan itu menyaksikan JDT bergelar juara lebih awal biarpun masih berbaki empat perlawanan liga iaitu dua perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Sri Pahang FC dan perlawanan terakhir menentang Sabah FC.
Jelasnya, beliau mahu skuad Harimau Selatan menamatkan saingan liga musim ini dengan penuh bergaya setelah JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat perlawanan ke-18 liga.
“Sudah tentu baki empat perlawanan ini penting buat kami. Selain mahu menamatkan saingan dengan rekod yang baik, ia juga menjadi pentas persiapan pasukan untuk ke Piala Malaysia,” katanya.