PETALING JAYA – Orang awam dinasihatkan untuk bersiap sedia sewajarnya dan tidak terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan di laman web rasmi kedutaan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyat mereka di negara ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika.
“Amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga AS di Malaysia.
“Sehubungan itu, orang awam disarankan mengikut arahan Agensi-Agensi Pengurusan Bencana Negara semasa kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pada setiap tahun negara juga akan mengalami Monsun Timur Laut dan pada tahun jni ia dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.
Tambah kenyataan itu, MetMalaysia berkata, maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web iaitu www. met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET
Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE