PETALING JAYA – Minyak masak dalam botol 5 kilogram (kg) akan dijual pada harga maksimum RM31.50 berbanding RM33.50 mulai Sabtu ini hingga 7 November depan.
Penurunan dilaksanakan bagi program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tempoh yang sama, minyak botol 3kg akan dijual pada harga RM19.90 berbanding RM21.10.
Katanya, harga minyak masak 2kg pula dijual pada harga RM13.50, manakala 1kg pada harga RM7.10.
“Harga baharu ini berkuat kuasa pada 8 Oktober hingga 7 November ini. Adalah diharapkan penetapan harga baharu bagi minyak masak tulen kemasan botol berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Alexander, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan dikenakan penalti bagi mana-mana pihak yang sengaja menjual melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.
“KPDNHEP menyeru semua pihak membantu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang agar tiada pihak yang mengambil kesempatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE