fbpx

EPL: Graham Potter rasai nikmat kejayaan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GALLAGHER menjadi wira Chelsea selepas meledak gol kemenangan ketika menewaskan Palace kelmarin. – AFP

LONDON – Pengurus Chelsea, Graham Potter meraih kemena­ngan pertama bersama The Blues selepas bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, The Eagles terlebih dahulu menja­ringkan gol menerusi Odsonne Edouard sebelum Chelsea bangkit dengan dua gol hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Conor Gallagher.

Meskipun dilihat bergelut sepanjang perlawanan, namun Potter tetap gembira selepas barisan pemainnya tidak mudah mengalah meskipun ketinggalan seawal minit ketujuh beraksi di gelanggang lawan.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini (kelmarin) kerana Selhurst Park bukanlah tempat yang mudah untuk berkunjung. Secara jujur, kami bermula baik, tetapi gol awal membuatkan kami agak bergelut.

“Kredit kepada semua pemain kerana mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah. Gol pe­nyamaan menerusi Aubame­yang membantu kami untuk kembali bersaing mendapatkan tiga mata,” katanya.

Pada masa sama, bekas pengendali Brighton itu mengakui bek tengah, Thiago Silva bernasib baik tidak dilayangkan kad merah selepas dia dilihat menepis bola menggunakan ta­ngan ketika Palace mahu me­lancarkan serangan.

“Saya fikir ia adalah sentuhan. Mungkin kedudukan dia yang sedikit jauh dari pintu gol menyelamatkannya da­ripada layangan kad merah. Saya faham mengapa Patrick Vieira (pengurus Palace) kecewa dengan keputusan pengadil,” ujar Potter. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI