WASHINGTON – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin menyuarakan keyakinan bahawa China tidak akan menyerang Taiwan walaupun ketegangan di rantau berkenaan kini semakin meningkat, lapor laman berita RT semalam.
“Saya tidak melihat pencerobohan (China ke atas Taiwan) akan berlaku,” katanya dalam satu temu bual bersama stesen penyiaran CNN.
Tambah Austin, situasi sekarang adalah Beijing sedang melaksanakan apa yang digelarnya sebagai ‘norma baharu’ iaitu peningkatan aktiviti (ketenteraan).
“Kami melihat terdapat aktiviti ketenteraan Beijing yang melintasi garisan Selat Taiwan termasuk pencerobohan menggunakan pesawat dan bilangannya bertambah dari semasa ke semasa.
“Kami juga melihat lebih banyak aktiviti menggunakan kenderaan tentera di darat dan laluan air sekitar Taiwan,” kata Austin.
Beijing meningkatkan latihan tenteranya di rantau sekitar Taiwan serta menamatkan kerjasama ketenteraan dan iklim dengan Washington selepas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke Taiwan Ogos lalu.
Pegawai-pegawai China menyelar lawatan tersebut dengan mendakwa bahawa kunjungan Pelosi menjejaskan kedaulatan Beijing ke atas Taiwan serta memberi galakan kepada kumpulan pemisah di Taipei.
China selain itu turut berikrar akan merampas semula Taiwan menggunakan kekerasan sekiranya terpaksa.
Sementara itu, Austin memberitahu CNN bahawa Washington akan terus bekerjasama dengan negara-negara sekutunya bagi mengekalkan persekitaran yang bebas dan terbuka di Laut Pasifik.
Tambah beliau, Washington akan cuba membuka semula saluran komunikasi ketenteraan dengan Beijing. – Agensi