fbpx

Cemas tapi Siti beranikan diri ‘selfie’ dengan Lee Min-ho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOTO selfie milik Siti Nurhaliza bersama Lee Min-ho tular sehingga ke luar negara.

PETALING JAYA – Kehadiran aktor popular Korea Selatan ke negara ini sempena penganjuran Konsert Cuckoo Appreci8th di Axiata Arena malam Sabtu lalu bukan hanya mengujakan peminat bahkan perasaan sama turut dirasai penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kata Siti, dia enggan melepaskan peluang bergambar dengan aktor tinggi lampai itu ketika sama-sama berada di atas pentas meskipun timbul kerisauan kerana tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Kisahnya memang di luar pentas, kawalan sangat ketat untuk artis antarabangsa seperti Lee Min-ho. Kena ikut setiap perancangan yang telah ditetapkan oleh pengurusan ya.

“Tak boleh ambil gambar selain menggunakan jurufoto rasmi. Tapi bila di atas pentas, saya tak nak lepaskan peluang keemasan,” katanya.

Disebabkan terlalu teruja, Siti, 43, berbekalkan keberanian dan telefon di tangan memberanikan diri meminta izin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo, KC Hoe untuk bergambar dengan Min-ho.

Selepas diberi keizinan, Siti memberi isyarat kepada Min-ho untuk meminta bergambar dan mengakui sudah bersedia untuk membuka silat ‘Mat Kilau’ sekiranya ada pengawal naik ke pentas menghalang atau ingin merampas telefonnya.

“Encik KC Hoe kata boleh. Dalam hati saya kata, kalau pengawal dia naik, saya dah bersedia nak buka silat Mat Kilau.

“Apa lagi, peluang keemasan depan mata. Saya senyum pada Min-ho ajak selfie, sekali dia setujulah. Terus jari saya sepantas kilat tekan tak berhenti. Okeylah, pengawal tak naik pentas. Misi berjaya,” tulisnya sambil berseloroh.

Perkongsian Siti yang mendapat lebih 290,000 tanda suka mengujakan ramai peminat kerana berpeluang melihat dua bintang ternama itu bergambar bersama.

Malah gambar swafoto yang dimuat naik penyanyi beranak dua itu turut tular dalam media sosial seperti Instagram dan Twitter selepas peminat global Min-ho mengulang siar foto berkenaan.

Menerusi ruangan komen perkongsian Siti, ramai peminat terhibur membaca kisah cemas yang berlaku pada waktu tersebut selain berkata, begitulah perasaan peminat ketika berpeluang bergambar dengannya.

“Macam itulah agaknya perasaan kami nak ambil selfie dengan Kak Iti. Tapi asyik dikawal ketat oleh Abang Chedd masa perjumpaan,” komen peminat.

“Kalau pengawal naik pentas rampas telefon Tokti, memang satu stadium pukul dia,” komen seorang lagi peminatnya.

Umum mengetahui, pengurusan artis luar negara terutama dari Korea Selatan sangat ketat dan tidak dibenarkan mengambil gambar mereka biarpun ketika berada di atas pentas.

Situasi sama pernah terjadi kepada pelakon dan penyanyi Ayda Jebat apabila telefon miliknya dirampas pengawal aktor popular Lee Kwang-soo ketika dia berswafoto dalam sebuah acara sekitar 2016. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI