fbpx

Cabaran ekonomi, isu banjir tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Langkah kerajaan menangani cabaran ekonomi dan kesiapsiagaan agensi kerajaan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir adalah antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, persoalan mengenai cabaran ekonomi itu diajukan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Perdana Menteri yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani cabaran tersebut demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia semasa sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula meminta Perdana Menteri menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40 dan T20 menurut pecahan tahun bermula 2019 sehingga 2022.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang pula meminta Perdana Menteri untuk menyatakan status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

Selain itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) turut meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan persiapan kementerian itu bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka melanda Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.

Turut menjadi tumpuan juga ialah pertanyaan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook yang meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan jangkaan tarikh siap projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH), Lebuh Raya Bertingkat Setiawangsa – Pantai (SPE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) serta senaraikan kadar tol yang akan dikenakan kepada semua jenis kelas kenderaan.

Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 November. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI