PETALING JAYA – Penyanyi Bad Indigo akhirnya membuka mulut merungkaikan punca sebenar sehingga perkahwinannya dengan Ashira Aziz sekadar bertahan sekitar setahun sejak bernikah Mac 2021.
Akuinya Bad, sikap pentingkan diri merahsiakan penyakit yang dihidapinya sebelum mendirikan rumah tangga menjadi punca perceraian mereka.
Bad menerusi satu hantaran Instagram berkata, pendedahan tersebut dilakukannya kerana tidak sanggup melihat bekas isterinya terus menerima kecaman hebat daripada orang ramai dengan tuduhan tidak berasas.
“Selama ini saya diam tetapi sekarang makin teruk dia kena kecam dengan netizen. Perceraian ini bukan salah dia tetapi saya.
“Saya yang tak jujur dengan dia iaitu tentang penyakit yang saya ada. Apabila sudah bernikah, baru saya tahu betapa teruknya sakit ini,” katanya.
Bad atau nama penuhnya Badrul Izhan Yeop Abdullah mengakui sikap tidak jujur tersebut tercetus kerana perasaan takut kehilangan Ashira, namun akhirnya memakan dirinya semula.
“Tidak adil untuk dia selepas saya yang tidak jujur sebab takut hilang dia dan tak mahu pada saya.
“Semua itu agak penting diri dan akhirnya kami tetap berpisah juga.
“Apabila tak jujur sejak mula, kepercayaan akan hilang, itu silap besar saya dan Ashira yang jadi mangsa. Saya minta maaf banyak-banyak kepada semua termasuk Ashira, dia mangsa dalam hal ini,” ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai kecaman, dia turut menempelak segelintir netizen yang tidak berhenti menuduh Ashira dengan pelbagai perkara tidak elok sehingga hari ini.
“Masih ramai yang tak puas hati kerana tidak tahu punca perceraian kami sehingga Ashira dikecam teruk oleh netizen.
“Macam-macam dilemparkan kepadanya seperti menuduhnya meninggalkan suami yang kudung kaki.
“Jika tak tahu pangkal cerita, jangan menyibuk. jika tiada benda elok, jangan bercakap dan itu semua dosa besar. Anda semua tak takut dosa?” ujarnya lagi.
Menerusi video sama, dia yang juga anggota kumpulan Indigo itu berkali-kali memohon maaf atas sikap penting dirinya dan berharap netizen berhenti mencemuh bekas isterinya.
“Saya mohon ampun pada Ashira dan keluarga kerana menyebabkan semua trauma dan kecaman yang diterima. Saya tiada niat untuk semua itu berlaku.
“Jumpa saya terus jika ada yang tidak puas hati dengan Ashira. Jangan buat kesimpulan dan menghakimi orang lain tanpa usul periksa.
“Saya tersilap langkah, minta maaf kepada semua orang yang terpaksa melalui semua ini.
“Kini, saya masih dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT, perbaiki kesilapan dan berdoa agar diberikan kesihatan yang baik,” katanya lagi.
Minggu lalu, Ashira mencuri perhatian apabila mendedahkan sedang berkawan rapat dengan kenalan lamanya, Fairul Ezuan namun masih belum bersedia untuk ke fasa perkahwinan susulan trauma yang dilaluinya sebelum ini.
Terdahulu, Bad mendirikan rumah tangga dengan Ashira pada 11 Mac 2021 selepas kedua-dua mereka mula rapat ketika bergelar peserta Gegar Vaganza musim ketujuh.
Namun, selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan itu diduga dengan masalah kesihatan Bad yang menghidap diabetis sehingga perlu memotong semua jari kaki kirinya.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Mereka juga tidak dikurniakan cahaya mata.
Sejak bercerai, pelantun lagu Di Ombak Resah itu sering menjadi mangsa kecaman ramai apabila ada yang menuduhnya sanggup meninggalkan suami dalam keadaan sakit. – KOSMO! ONLINE