fbpx

ATS bakal bawa jemaah umrah terus dari Kuching ke Jeddah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurus Besar Serantau Kuwait Airways, Ali Alkhuzaiem (tengah) menyambut ketibaan punumpang yang tiba menerusi penerbangan sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke KLIA tadi. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Jemaah umrah dari Sarawak dilihat tidak perlu lagi transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunaikan umrah apabila perjalanan terus dijangka diwujudkan dari negeri itu ke Tanah Suci selepas ini.

Pesawat Kuwait Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Perkara tersebut dibayangkan oleh ATS Global Travel & Charter Sdn. Bhd. susulan pelantikan syarikat itu sebagai agensi jualan am (GSA) Kuwait Airways untuk pasaran Malaysia.

Menurut Pengerusinya, Datuk A. Aziz Ahmad, syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu sudah mendapat maklum balas positif kerajaan Sarawak bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Ini juga selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebagai hab umrah bagi umat Islam Borneo,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menyambut ketibaan kumpulan pertama penerbangan semula Kuwait Airways ke KLIA hari ini.

A Aziz Ahmad (empat kiri) bergambar bersama juruterbang pada Penerbangan Sulung Kuwait Airways dari Kuwait City ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Mengulas lanjut, A. Aziz berkata, ketika ini memang tiada langsung penerbangan terus ke Tanah Suci dari Sarawak.

“Justeru, kami berminat menjadi perintis bagi menawarkan perkhidmatan itu menerusi Kuwait Airways yang akan terbang sama ada ke terminal Jeddah atau kota suci Madinah di Arab Saudi.

“Langkah itu dijangka dapat menarik ramai umat Islam di negeri jiran seperti Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan selain Brunei dan lima wilayah Kalimantan, Indonesia sendiri,” jelasnya.

Katanya, beliau optimis usaha menjadikan Kuching sebagai hab umrah kedua selepas KLIA akan membolehkan masyarakat Islam di selatan Filipina mengerjakan ibadah itu.

“Hub umrah di Kuching agak strategik di mana ia bakal merancakkan ekonomi Segi Tiga Pertumbuhan ASEAN Timur melibatkan Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilakah rancangan itu akan dilaksanakan tetapi memberi bayangan bahawa penerbangan terus tersebut dilakukan dalam masa yang terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI