KUALA PILAH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menangkap seekor ular sawa seberat 120 kilogram di Kampung Juasseh Kapitan, di sini, tengah malam tadi.
Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, pasukannya menerima aduan kira-kira pukul 12.37 tengah malam memaklumkan terdapat seekor ular sawa batik berada di dalam sebuah kandang kambing usang.
Menurutnya, pemanggil memaklumkan bahawa dua ekor kambingnya terkorban akibat serangan dari ular bersaiz besar itu.
“Pemilik ternakan itu juga memaklumkan bahawa separuh badan seekor Kambing miliknya telah dibaham dan beliau mengambil tindakan dengan mengganggu ular tersebut sehingga ular itu memuntahkan semula mangsanya.
“Setibanya di lokasi pada pukul 12.49 tengah malam, anggota APM berjaya menangkap seekor sepanjang empat meter itu dengan kerjasama orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Ghazali berkata, ular itu telah dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE