PETALING JAYA – Selepas kritikan daripada seorang pelanggan mengadu tidak menerima baki wang mencukupi sebanyak lima sen tular, sebuah francais kedai kopi membuat permohonan maaf beserta baucer 75 sen, namun menerima kecaman di media sosial.
Rata-rata orang ramai beranggapan bahawa hantaran tersebut sebagai satu herdikan dan menyifatkan ‘kedai kopi’ itu tidak memandang serius mengenai isu yang sedang berlaku.
Orang ramai juga meluahkan rasa tidak puas hati dan ’geram’ apabila kedai berkenaan turut memuat naik video lelaki yang meminta baki wang lima sen kerana dianggap tidak menghormati privasi pelanggan.
“Awak dah gagal layan pelanggan dengan baik dan sekarang buat promosi seolah-olah mengherdik pelanggan tersebut dan buatkan situasi ini nampak kecil? Tolong dapatkan pegawai komunikasi yang lebih baik,” kata TechieKitteh.
“Mungkin pelanggan selepas ini tiada lima sen, awak patut halalkan barulah adil,” kata Lumannyamiin.
“Tak hadap 75 sen awak, respon seperti pelanggan pula berhutang dengan awak, setiap perniagaan perlu menghargai nilai duit walaupun satu sen, usaha sikit untuk ada baki buat pelanggan,” kata Fafart.
Sebelum ini seorang pelanggan memuat naik hantaran di Facebooknya meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak mendapat pulangan baki wang mencukupi sebanyak lima sen.
Hantaran tersebut terus menjadi perbualan hangat di media sosial dan pelbagai pendapat diutarakan pengguna media sosial berhubung isu terbabit. – KOSMO! ONLINE