ALOR SETAR – “Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Selamat datang ke utara.”
Demikian hantaran terbaharu dalam akaun Facebook, Presiden Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada hari ini yang turut memuat naik gambar Menteri Besar itu tersenyum simpul sekali gus menjadikannya tular dan tumpuan netizen.
Netizen sudah dapat meneka maksud di sebalik hantaran itu, walaupun tidak dinyatakan kepada siapa mesej itu ditujukan sebenarnya.
Status itu adalah reaksi pertama Muhammad Sanusi sebagai menyambut kedatangan pasukan Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal bertandang ke Stadium Darul Aman di sini pada Selasa ini untuk saingan seterusnya dalam Liga Super itu.
Pada semalam, Kedah Darul Aman (KDA) FC kalah di tangan Petaling Jaya City (PJ City) lantas dilihat akan memberi bebanan kepada pasukan rumah itu kelak.
Sesuatu yang pasti, perlawanan KDA FC dan JDT kelak pasti dinanti-nantikan ekoran pertikaman lidah antara Muhammad Sanusi dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ini.
Muhammad Sanusi menjadi topik hangat di media sosial ekoran sindiran beliau terhadap JDT khususnya Tunku Mahkota Johor (TMJ) sejak kebelakangan ini.
Terdahulu, kurang 24 jam lepas, TMJ turut memuat naik status terbaharu di ruang Story akaun Instagram miliknya, hrhcrownprinceofjohor dipercayai untuk menyindir Muhammad Sanusi, Siang Malam Meratib Pasal JDT yang turut memuatkan video sedutan dari filem The Nutty Professor.
Status berkenaan dipercayai reaksi TMJ terhadap kenyataan Muhammad Sanusi yang sekali lagi mengkritik JDT dengan mengungkit semula perpindahan penyerangnya, Akhyar Rashid ke kelab itu.
“Kita panas pasal bola sepak sahaja, pasal dia beli pemain Kedah. Dia simpan di kerusi simpanan. Itu kita hangat. Budak itu baik, budak hebat, pandai, kita latih dan cungkil bakat dia,” ucap Muhammad Sanusi dalam satu majlis di sini baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE