Oleh MOHD RIFAAT ABD. HAMID
JURULATIH Petaling Jaya (PJ) City, P. Maniam memuji persembahan pemainnya selepas berjaya menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Stadium Darul Aman di Alor Setar pada semalam.
Menurut Maniam, kejayaan anak-anak buahnya itu adalah kerana mengikut arahan serta memberi komitmen tinggi sehingga menyebabkan benteng pertahanan KDA FC berjaya dibolosi.
Katanya, walaupun pada awal permainan pasukan tuan rumah mula menguasai perlawanan serta membuat beberapa serangan, tetapi itu tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk bermain dengan baik.
“Saya memuji benteng pertahanan PJ City yang berjaya mengekang beberapa serangan daripada tuan rumah. Walaupun tuan rumah mendapat sokongan daripada penonton, tetapi anak buah saya masih dapat bertahan sehingga pasukan lawan sukar untuk membolosi gol.
“Pada separuh masa kedua, PJ City bermain dengan lebih baik dan bersemangat sehinggalah pemain gantian, V. Ruventhiran menjaringkan gol.Kemasukan pemain itu memberi masalah buat pertahanan KDA dengan kelincahannya itu,” katanya.
Maniam berkata, walaupun pasukan PJ City diasak beberapa kali dalam perlawanan itu, tetapi kekuatan mental pemain serta ketenangan anak buahnya mampu mengawal permainan pada malam itu.
“Walaupun benteng pertahanan sering diasak, tetapi semangat juang yang ada pada pemain saya sukar dipatahkan. Serangan balas mengejut yang dibuat menyebabkan pertahanan KDA FC menjadi kelam-kabut dan beberapa kali pintu gol KDA FC hampir dibolosi.
“Saya yakin dengan mengekalkan semangat dan permainan seperti yang diarahkan, kami mampu meraih beberapa kemenangan dalam perlawanan akan datang. Kejayaan menggenggam tiga mata di tempat lawan ini cukup memberi semangat kepada anak buah saya untuk bertemu dengan pasukan akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE