TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba nama pelakon jelita Anna Jobling kecoh diperkatakan.
Bezanya, kali ini dia bukan dikecam atau menjadi padang sasar netizen melepaskan peluru kebencian sebagaimana yang sering terjadi kepada selebriti lain.
Tetapi, namanya diperkatakan netizen terutama dalam kalangan peminat dan penyokongnya dek sikap pelakon wanita lain yang bermuka-muka dan bercakap tidak baik mengenai Anna.
Langsung tidak melatah apatah goyah dengan kata-kata nista yang dilempar kepadanya, Anna berkata, dia sendiri tidak faham dengan masalah individu itu.
“Saya tak kacau sesiapa pun, kenapa nak kacau saya? Buat apa nak dengki dengan orang?” soalnya tatkala ditanya berkenaan perkara tersebut.
Tambah Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, dia juga malas untuk ambil pusing apatah lagi mempedulikan sikap pelakon wanita itu yang didakwa memburuk-burukkan namanya dalam media sosial.
“Saya tahu perkara ini daripada peminat. Setahu saya, sepanjang berlakon dan masuk dalam dunia seni, saya tak pernah nak kacau atau ganggu periuk nasi orang lain.
“Bagi saya, rezeki setiap orang berbeza dan tak akan pernah salah alamat. Konsepnya mudah, saya akan persetankan dan jauhi individu toksik seperti itu,” katanya.
Jelas Anna lagi, paling tidak disangka-sangka dan membuatkan dia bertambah terkejut apabila insan yang bercakap buruk mengenainya itu pernah berlakon dengannya dalam sebuah naskhah.
“Saya memang terkejut apabila dapat tahu dia orangnya. Sebab saya tengok dia okey bila kami bersama di set. Tak tahulah pula perangainya begitu,” ujarnya.
Ditebak sama dia berhasrat hendak bersemuka dengan pelakon yang semakin meningkat naik itu, bintang drama Melur Untuk Firdaus itu berasakan tiada keperluan untuknya berbuat demikian memandangkan bukan dirinya yang mencetuskan onar.
“Saya tak akan sesekali merendahkan diri ke tahap sebegitu.
“Saya akan terus bekerja kuat, berfikiran positif dan sibuk dengan hal sendiri. Ingatlah, semakin anda dengki dengan orang, semakin sempit rezeki anda.
“Kalau saya berjumpa dengan dia selepas ini, saya akan tetap menjadi diri sendiri dan profesional seperti biasa. Jika anda dengki dengan saya, itu masalah anda, bukan masalah saya,” katanya.
Tegas Anna tentang pendiriannya, memasuki usia 22 tahun, dia perlu lebih matang dan profesional dalam membawa haluan diri selain lebih bijak memilih rakan.