fbpx

Pemuda maut selepas bercuti di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah trak pikap selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Aring 15 di Gua Musang semalam. FOTO IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Kegembiraan sekumpulan penunggang motosikal pulang dari Cameron Highlands bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di Kilometer 54, Jalan Aring 15 di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang, mangsa, Atiq Irfanwadif Nan, 32, dari Kuala Terengganu, Terengganu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah trak pikap jenis Kia Sportage.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki itu tidak sempat mengelak dan merempuh penunggang motosikal.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Choon Foo, bagaimanapun, pemandu trak pikap berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI