ALOR GAJAH – Pas perlu memenuhi tiga tuntutan daripada UMNO jika ingin kembali menjalin kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga tuntutan tersebut adalah keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ seratus peratus daripada PN dan Bersatu.
Menurutnya, tiga syarat tersebut telah dikemukakan sewaktu bertemu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Beliau berkata, jika Pas memenuhi tuntutan tersebut, barulah rundingan kerjasama dengan UMNO boleh dilakukan khususnya dalam menghadapi PRU-15.
“Selagi Pas tidak penuhi tiga tuntutan itu, kita (UMNO) tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti. Mereka mengetahuinya (tiga syarat).
“Tiga syarat itu saya maklumkan ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas. Bukan saya hendak jumpa dia, tetapi dia yang hendak jumpa saya,” katanya ketika berucap merasmikan Penutupan Bootcamp BNComms di Kem Permata Resort dekat sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program tersebut, Ahmad Zahid berkata, selagi Pas tidak memenuhi tiga tuntutan tersebut, UMNO tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan parti itu.
Menurutnya, pihaknya tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali yang mana Pas yang dahulunya menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019, tiba-tiba membentuk gabungan politik bersama parti serpihan UMNO.
“Dulu kita bersangka baik dengan Pas selepas menandatangani piagam tersebut yang menyaksikan hasil gabungan itu, kita menang tujuh pilihan raya kecil (PRK) tetapi selepas itu lain yang terjadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE