MANCHESTER – Pertembungan dua gergasi Liga Perdana Inggeris dari Manchester iaitu Manchester City dan Manchester United malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan buat kali ke-188.
Bagi peminat City, kemenangan pada perlawanan itu sangat penting atas dua faktor iaitu maruah dan tiga mata untuk memastikan mereka mampu untuk terus menghimpit puncak liga yang dikuasai Arsenal.
Selain kemenangan, aksi malam ini cukup penting untuk penggempur sensasi The Citizens, Erling Haaland yang berpeluang untuk melakukan sesuatu yang cukup istimewa dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain sebelum ini.
Haaland setakat ini berjaya meledak 11 gol dalam tujuh aksi di mana enam daripada jumlah jaringan itu hadir dalam dua perlawanan terakhir apabila meledak hatrik ketika menentang Crystal Palace dan Nottingham Forest di Etihad.
Pada aksi menentang United di laman sendiri malam ini, Haaland mampu mengukir namanya dalam sejarah EPL sekiranya dia sekali lagi mampu meledak hatrik sekali gus menjadi pemain pertama yang melakukannya secara berturut-turut dalam tiga aksi di laman sendiri.
Legenda City, Sergio Aguero sebelum ini pernah mencatat tiga hatrik di laman sendiri ketika musim 2018/19, namun ia tidak dilakukan secara berturut-turut.
Dalam pada itu, pengurus pasukan itu, Pep Guardiola mengesahkan bahawa beliau tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan John Stones yang mengalami kecederaan hamstring sewaktu bersama England.
“Saya tidak fikir dia perlu berehat sehingga lima atau enam minggu. Secara kebiasaannya, hamstring akan mengambil tempoh tersebut, tetapi saya berharap dia mampu pulih dalam tempoh 10 hari hingga ke dua minggu sahaja,” jelasnya. – AGENSI