PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meneruskan kuliah dhuhanya sebelum melakukan solat jenazah anaknya pagi tadi.
Zulkifli menerusi akaun media sosial beliau memaklumkan, kuliah tetap diteruskan kerana baginya ilmu adalah sesuatu yang mulia dan tidak ada galang gantinya.
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan memetik kisah seorang ulama terdahulu yang setiap masa menuntut dan berkongsi ilmu meskipun ketika kematian anaknya.
“Jalsah ‘Ilmiyyah (kuliah dhuha) pada pagi ini pukul 9 pagi diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anakanda saya pada pukul 9.45 pagi. Kemuliaan ilmu tidak ada galang gantinya.
“Al-Hafiz al-Munziri (wafat 656H) terkenal sebagai salah seorang ulama yang begitu tekun dengan ilmu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Zulkifli, ulama tersebut tidak akan sesekali meninggalkan madrasahnya untuk apa jua tujuan walaupun untuk berehat dan hidupnya hanya diwakafkan untuk ilmu.
Jelas beliau, Al-Hafiz al-Munziri solat jenazah untuk anaknya di dalam madrasah dan menghantar jenazah hingga ke muka pintu.
“Beliau lalu berkata ‘Wahai anakku, aku tinggalkan dirimu kepada Allah Ta’ala’ lalu beliau kembali masuk ke dalam untuk menekuni ilmu.
“Betapa ulama silam memuliakan ilmu walaupun anaknya meninggal dunia. Atas asas ini, saya teruskan kuliah pada pagi ini. Jemput hadir kepada semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE