KUALA LUMPUR – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi tetap boleh berbangga dengan pencapaiannya meskipun tidak menaiki podium acara 200 meter (m) Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun sebentar tadi.
Azeem, 18, mencapai sasarannya mahu mencatat masa bawah 21.00 saat (s) apabila menamatkan aksi final 200m di Stadium Denka Big Swan itu di tempat kelima dengan catatan 20.98s.
Ini kerana pelari dari Ipoh, Perak itu pernah menyuarakan keinginannya mahu konsisten dengan catatan bawah 21s bagi acara 200m dalam setiap kejohanan disertai sewaktu Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bulan lalu.
Pingat emas dimenangi Uzawa Toba mewakili Tsukuba Omiya Castle dengan masa 20.60s, manakala perak menjadi milik Keigo Yasuda dari Sumitomo Electric Hyogo menerusi catatan 20.75s.
Seorang lagi pelari Jepun, Uemoto Naoki yang mewakili IxZOG Osaka pula meraih pingat gangsa dengan catatan 20.94s.
Azeem pula terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kelima apabila dipisahkan 0.002s menerusi penentuan photo finish dengan Yamashita Jun dari ANA Tokyo di tempat keempat selepas terikat 20.98s.
Ia adalah catatan yang lebih bagus jika dibandingkan dengan masa dilakukan Azeem sewaktu memenangi pingat perak Sukma 2022 iaitu 21.03s.
Azeem yang memegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s, mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m iaitu 20.83s sewaktu Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia pada Ogos lalu.
Rekod 200m kebangsaan, 20.77s pula masih kekal dipegang oleh pelari negara berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib yang melakukannya di Queensland Track Classic pada 23 Mac 2019. – KOSMO! ONLINE