PETALING JAYA – Penduduk di Jalan TPS3/2 Taman Pelangi Semenyih di Semenyih gempar apabila seekor harimau kumbang masuk ke halaman sebuah rumah dalam kejadian pada petang semalam.
Terdahulu, operasi menangkap haiwan tersebut oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dikongsikan pengguna laman sosial TikTok.
Menerusi video tersebut, penduduk berkerumun di hadapan salah satu rumah dimasuki harimau kumbang tersebut bagi menyaksikan operasi tangkapan dilakukan.
Dalam pada itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.32 petang oleh pemilik rumah dan anggota BBP Semenyih bergegas ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi, didapati ada seekor harimau kumbang berada di tempat letak kereta rumah pemanggil tersebut.
“Anggota bomba membantu membuat pengosongan di sekitar ruang tempat letak kereta dengan memasang jaring khas. Pihak Perhilitan seterusnya menjalankan kerja membidik ubat pelali kepada haiwan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba membantu mengangkat harimau tersebut ke dalam sangkar.
“Setelah memastikan tiada lagi punca-punca boleh mendatangkan bahaya di lokasi, tugas diserahkan kepada pihak Perlihitan untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Operasi tangkapan harimau tersebut tamat pukul 7.10 malam. – KOSMO! ONLINE