KEBELAKANGAN ini gempar dengan pelbagai laporan cubaan culik pelajar sekolah di seluruh negara. Berjangkit-jangkit, seolah-olah bermusim pula cerita culik pelajar sekolah ini. Beberapa laporan polis diterima di beberapa negeri.
Namun, setelah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan didapati dakwaan tersebut adalah tidak benar dan palsu. Sama ada cerita itu direka-reka oleh ‘mangsa’ yang cuba diculik atau pun ada salah faham.
Misalnya di Kuala Krai, individu yang disyaki melarikan kanak-kanak rupanya pekerja syarikat perkhidmatan penapis air. Bagai ada satu propaganda pula untuk menakut-nakutkan orang ramai. Ini bukan perkara baru, malah turut dilalui orang lain ketika kecil.
Jika diamati, sekitar tahun 90-an penulis sendiri kerap dimomokkan dengan cerita ‘van putih’ yang memburu kanak-kanak untuk dijual organnya. Paling menakutkan apabila timbul juga cerita kanak-kanak diculik untuk mendapatkan tengkoraknya.
Tengkorak ini akan ditanam bersama konkrit untuk mengukuhkan struktur binaan jambatan atau bangunan. Pada masa itu, bagai ada ‘pakatan sulit’ antara guru di sekolah dan ibu bapa apabila masing-masing mengulang-ulang cerita sama.
Isu sama turut mendapat perhatian pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus. Beliau berkongsi pengalaman ketika zaman budak-budak dahulu. Isu yang diperkatakan dari mulut ke mulut berkenaan kes potong kepala budak. Nama pelakunya adalah Jaapar Tonggek yang akan memotong kepala kanak-kanak dan memasukkan ke dalam guni.
“Bertahun-tahun nama itu muncul bila tiba musimnya. Tiada siapa buktikan wujudnya nama itu dan berlakunya kes itu,” kongsi Sabri.
Di Malaysia, kejadian culik ini mempunyai punca yang pelbagai. Tidak puas hati, dendam, wang tebusan atau dijadikan mangsa seksual antara motifnya.
Pada 2016, semasa bertugas di Kelantan penulis pernah melaporkan kejadian seorang bayi berusia lima hari yang dilarikan sepasang suami isteri dari Wad Kanak-kanak Hospital Tanah Merah.
Kedua-dua suspek itu yang mengalami masalah kemurungan selepas zuriat yang ditunggu-tunggu keguguran beberapa bulan sebelum itu bertindak nekad melarikan bayi tersebut.
Kaedah ‘psikologi’ ini nyata berkesan. Kami kanak-kanak ketika itu sentiasa beringat-ingat akan ‘risiko’ menjadi mangsa culik. Sampaikan melihat lelaki Pakistan menjual kain pun takut. Terbayang-bayang dalam gendongan kain yang diikat di belakang motosikal berisi kepala budak. Seram.
Namun, harus diingat individu yang terlibat menyebarkan berita tidak sahih boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran awam.
Penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana berjaya membawa pulang ejen kosmetik wanita yang diculik sebelum dilarikan ke Thailand dari kediaman di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu.