SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyokong idea untuk menjadikan tarikh pilihan raya sebagai satu perkara yang tetap dan tidak berubah-ubah berdasarkan keputusan parti pemerintah.
Presiden penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini bukan sahaja akan memudahkan parti-parti yang bakal bertanding, tetapi juga memberikan kesan kestabilan dalam ekonomi negara terutama dalam aspek pelaburan.
Kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, dengan adanya tindakan ini, kerajaan boleh dirancang dan direncana dengan baik sekali gus tidak celaru sebegini.
“Adakah kita mahu terus dalam keadaan begini dan agenda PBM mahu membawa perubahan dengan ‘reset’ dan harus memperbetulkan yang betul.
“Sudah tiba masanya kita mengangkat agenda itu agar ada penetapan tarikh pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Jelas Zuraida, pihaknya berpegang kepada prinsip mempertahankan terlebih dulu apa yang dimiliki parti itu pada PRU-15.
“Kita pertahan dulu apa yang ada di tangan kita sekali pun akan membantu mana-mana gabungan yang mahu mencari jalan demi manfaat bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PBM menggariskan enam teras utama yang berupaya membawa Malaysia ke mercu lebih tinggi dan mengatasi keupayaan negara lain.
“Teras itu meliputi keharmonian antara semua kaum, pemerkasaan penglibatan wanita kuasa anak muda dan pendidikan sama ada akademik atau kemahiran.
“Selain itu, kita memfokuskan agenda sains dan teknologi serta reset ekonomi negara,” ujarnya.
Tambah Zuraida, PBM turut akan melancarkan Doktrin Bangsa Malaysia iaitu garis panduan untuk diteladani setiap ahli parti bagi memastikan misi perjuangan membangunkan Malaysia tercapai. -KOSMO! ONLINE