SHAH ALAM- Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia bertanding secara bersendirian sekiranya permohonan mereka memasuki Barisan Nasional (BN) tidak diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage berkata, kemungkinan tersebut memandangkan UMNO telah menetapkan pendirian bahawa PRU-15 harus dijalankan tahun ini.
“Sukar untuk kita jangkakan (berhubung permohonan itu) tapi kami harus bersedia untuk bertanding solo sekiranya terdesak.
“Apapun, kami masih lagi berharap untuk berada dalam gagasan BN,” katanya dalam sidang akhbar pra Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, keputusan bagi memasukkan PBM ke dalam BN harus mendapati persetujuan secara konsesus dengan semua parti dalam gabungan itu.
Dalam pada itu, Na’im memaklumkan bahawa partinya juga telah bersedia untuk bersaing dalam apa juga keadaan pada PRU-15 nanti.
Menurutnya, gerak kerja awal telah dimulakan Pemuda PMM bersama sayap dalam parti sebagai persediaan bagi menghadapi ‘perang’ itu. -KOSMO!ONLINE