fbpx

Perdana Menteri setuju PRU-15 diadakan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir Khalid

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menyatakan persetujuannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persetujuan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan membabitkan lima kepimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ UMNO semalam.

“Menerusi pertemuan semalam, kita berbincang mengenai perkara berkaitan pilihan raya umum, macam-macam isu dibangkitkan dari segi calonnya, duit, jentera dan macam-macamlah.

“Secara asasnya, Perdana Menteri juga sudah bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan untuk mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai persiapan UMNO bagi menghadapi PRU-15, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, persiapan parti kini mantap dan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

Terdahulu, lima pemimpin tertinggi UMNO atau lebih dikenali ‘Top 5’ mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, diikuti mesyuarat MKT malam tadi.

Mereka terdiri daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI