PETALING JAYA – Kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 skala Ritcher di utara Sumatera, Indonesia pada pukul 3:28 pagi tadi turut dirasai oleh penduduk di negara ini khususnya di Lembah Klang.
Berdasarkan perkongsian pada Twitter, orang ramai memaklumkan, mereka merasai gegaran tersebut pada pagi tadi.
“Gegaran dirasai di sekitar Shah Alam selama lima hingga enam saat kira-kira pukul 3:31 pagi tadi. Ada gempa bumi di mana-manakah? Nampak kipas dan lampu siling berayun kiri kanan,” kata pengguna Arashy Azim.
“Ada rasa seperti gempa bumi di kawasan Sunway. Ada sesiapa yang rasa juga?,” kata pemilik akaun Kherthenaa.
Ciapan tersebut mendapat maklum balas pengguna-pengguna lain yang memberitahu, mereka merasai gegaran di Kota Damansara, Shah Alam, Petaling Jaya, Klang dan Gombak.
“Gempa bumi, saya dapat rasa sekarang. Saya nampak (air) akuarium di rumah beralun,” kata pengguna Efzueni.
Terdahulu, dalam kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gegaran mungkin turut dirasai di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia.
Menurut MetMalaysia, pusat gegaran gempa bumi tersebut terletak di 2.2 darjah utara dan 98.8 darjah timur iaitu 286 kilometer barat daya dari Sabak Bernam dengan kedalaman 29 kilometer.
“Gegaran mungkin dirasai di Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. MetMalaysia akan terus pantau keadaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE