PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain terus berteka-teki tentang masa depannya yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.
Beliau memberitahu, masa depan tidak boleh diramal dan berharap peminat bola sepak tanah air menganggap desas-desus itu sekadar khabar angin buat masa ini.
“Khabar angin adalah lumrah dalam bola sepak. Mungkin jawapan lebih jelas ada pada pengurusan (TFC dan KDA FC).
“Lupakan seketika tentang nasib saya, baik kita fokus kepada misi (TFC) layak secara automatik ke saingan Piala AFC musim depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Nafuzi menegaskan, beliau tidak mahu tumpuan TFC untuk mengutip mata maksimum pada baki saingan Liga Super bagi meraih tiket ke Piala AFC terjejas ekoran khabar angin berkenaan.
Ujar jurulatih berusia 44 tahun itu, skuad kendaliannya perlu menumbangkan Sabah pada pertemuan malam ini bagi mencerahkan peluang sekurang-kurangnya menduduki posisi ketiga Liga Super musim ini.
“Kita tiada pilihan selain menewaskan Sabah di gelanggang sendiri malam esok (ini) sambil mengharapkan Negeri Sembilan yang berada di kedudukan ketiga liga keciciran mata.
“Mungkin perebutan tiket ke Piala AFC hanya akan ditentukan pada minggu terakhir saingan liga, tetapi kuncinya tewaskan Sabah yang kini berada di tangga kedua liga terlebih dahulu,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Sabah, Mohd. Nafuzi mengakui, kelebihan memihak kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang jauh lebih berpengalaman.
Begitupun katanya, ia bukan alasan skuad Sang Penyu untuk tidak memberi saingan sengit, sekali gus menebus kekalahan 1-2 pada pusingan pertama liga sebelum ini.
“Ini adalah aksi terakhir Liga Super di gelanggang sendiri. Ambil peluang ini untuk penyokong tegar TFC penuhkan stadium, kami perlu sokongan dan sorakan anda,” katanya.