fbpx

Liga Super : JDT sah juara Liga Super musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain JDT meraikan kejayaan selepas menjuarai trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS

ISKANDAR PUTERI – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas membelasah Negeri Sembilan FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam ini.

Kekalahan 2-0 Sabah kepada Terengganu FC bermakna Harimau Selatan tidak mampu digugat walau apa pun yang berlaku dalam baki empat perlawanan terakhir.

JDT mengharungi 18 perlawanan tanpa kalah dan berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan treble selepas sebelum ini menjulang Piala FA.

Biarpun turun tanpa penyerang sensasi, Fernando Forestieri yang digantung satu perlawanan, ia tidak menjejaskan prestasi  pasukan bimbingan Hector Bidoglio.

Penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bijak menafikan beberapa percubaan pasukan tuan rumah termasuk sepakan percuma Leandro Velazquez pada minit ke-29.

Pasukan pelawat turut mendatangkan cemas buat pasukan tuan rumah pada minit ke-31 apabila Zaquan Adha Abd. Radzak menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias namun, jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd. Fusser Mad Salleh setelah penyerang itu berada di posisi ofsaid.

Gol yang diburu JDT hadir pada minit ke-35 setelah Arif Aiman Hanapi bijak memanfaatkan umpanan Velazquez dengan melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Ahmad Syihan.

JDT terus mengukuhkan kedudukan dua minit berselang setelah Velazquez memahatkan nama dalam senarai penjaring apabila meledak gol menerusi sepakan percuma.

Bersambung babak kedua, kealpaan pemain pertahanan lawan menyaksikan Negeri Sembilan dihukum JDT menerusi kelincahan Arif Aiman merampas bola dan mudah menewaskan Ahmad Syihan buat kali kedua.

Ketika perlawanan berusia 60 minit, skuad Hobin Jang Hobin terus terhimpit apabila Bergson meledak gol keempat pasukan bagi menambah derita buat pasukan Devan.

Bergson melengkapkan kemenangan bergaya juara Liga Super musim 2022 apabila meledak gol pada babak akhir perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI