SINGAPURA – Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen yang berpeluang besar dinobatkan sebagai juara Formula Satu (F1) lebih awal di Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini tidak mendapat reaksi positif daripada Lewis Hamilton.
Pemandu Mercedes, Hamilton mengakui kemenangan ketika perlumbaan F1 masih berbaki lima pusingan bukanlah perkara baik terutama bagi peminat sukan tersebut.
Tegas Hamilton, meraih gelaran dunia F1 semestinya adalah pencapaian terbaik dalam karier pelumba, tetapi bagi sukan tersebut sebenarnya bukanlah perkara yang menakjubkan.
“Saya tidak terlalu memikirkan tentang kemampuan dan peluang Verstappen melakar gelaran kedua berturut-turut.
“Sudah tentu saya tahu apa peminat rasakan dan juga untuk kami tahun lalu apabila berjuang hingga ke pusingan terakhir yang benar-benar sengit.
“Ia tidak pernah rasa hebat apabila perlumbaan F1 berakhir dengan lebih awal. Walaupun saya pernah merasakan detik tersebut seperti di Mexico.
“Bagi anda (Verstappen) sebagai individu, ia hebat. Tetapi, untuk sukan sebenar, ia tidak menakjubkan,” kata Hamilton.
Sekiranya Verstappen memenangi GP Singapura dan turut meraih mata bonus sepusingan terpantas, dia berpeluang untuk merangkul gelaran dunia kedua.
Namun, dengan syarat pemandu Ferrari, Charles Leclerc perlu mengakhiri perlumbaan di tempat kesembilan atau lebih rendah. – AGENSI