PENYANYI dangdut Lesti Kejora yang kini masih dirawat di hospital selepas dipukul suaminya iaitu pelakon Rizky Billar masih belum mempunyai keputusan sama ada untuk menuntut cerai.
Peguam mewakili Lesti, Sandy Arifin dalam satu kenyatannya selepas disoal pihak media memberitahu, setakat ini penyanyi berusia 28 tahun tahun itu belum membincangkan apa-apa perancangan untuk menuntut perceraian daripada Rizky selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Setakat ini Lesti belum berbincang apa-apa dengan saya mengenai tuntutan perceraian. Lagipun dia masih lagi dirawat di hospital,” katanya.
Pada masa sama, Sandy memaklumkan bahawa penyanyi yang popular menerusi lagu Takdir Cinta itu juga akan menjalani rawatan psikologi selain fizikal untuk memulihkan semula keadaannya.
“Tumpuan Lesti kini terhadap keluarganya. Nanti dia juga akan menjalani pemeriksaan psikologi atas arahan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.
“Alhamdulillah keadaanya baik-baik sahaja dan kini dijaga oleh keluarganya,” ujar Sandy.
Kisah rumah tangga pasangan romantis itu menjadi perhatian media dan juga peminat selepas Lesti membuat laporan polis pada Rabu lalu selepas menjadi mangsa kekerasan Rizky akibat diduga berlaku curang di belakang isterinya.
Rizky yang berang dengan tuduhan tersebut kemudiannya bertindak di luar kawalan apabila dilaporkan menghempas dan mencekik leher isterinya berulang kali.
Memetik laporan polis, Rizky telah menolak dan melemparkan isterinya ke atas katil serta mencekiknya sehingga jatuh ke lantai.
Susulan kejadian yang berlaku, Lesti dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan, leher dan tubuh sehingga memaksanya membuat laporan polis terhadap suaminya.
Kes tersebut disiasat mengikut Pasal 44 Undang-Undang No. 23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (UU PKDRT) dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga 15 tahun sekiranya mangsa mengalami luka berat ataupun meninggal dunia.
Lesti dan Rizky mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar. – KOSMO! ONLINE