SINGAPURA – Pelumba pasukan Ferrari, Charles Leclerc menguasai saingan kelayakan Grand Prix (GP) Singapura di Litar Marina Bay sebentar tadi selepas melakukan catatan masa terpantas 1 minit 49.412 saat (s).
Menerusi keputusan itu, Leclerc akan memulakan perlumbaan esok di petak hadapan dan lebih manis, ia merupakan petak hadapan kesembilan buat pelumba Monaco tersebut pada saingan musim ini.
Meskipun dicabar pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton dan Sergio Perez dari Red Bull, namun Leclerc tetap tenang berdepan tekanan tersebut, sekali gus memastikan petak hadapan menjadi miliknya.
“Bagi saya, saingan kelayakan di sini sentiasa rumit dan mencabar, terutama pada dua pusingan awal kelayakan. Memasuki kelayakan ketiga, kami menggunakan tayar lembut pada penghujung saingan dan ia berbaloi.
“Jumaat lalu, kami tidak banyak menguji jentera, jadi agak kekurangan data. Bagaimanapun, jika kami bijak buat keputusan pada perlumbaan esok, kami mampu catat kemenangan,” kata Leclerc selepas tamat saingan.
Sementara itu, petak kedua menjadi milik Perez menerusi catatan masa 1:49.434s manakala Hamilton berpuas hati memulakan perlumbaan esok di petak ketiga selepas mencatat 1:49.466s.
Dalam pada itu, pendahulu kejuaraan dunia dari Red Bull, Max Verstappen sekadar menamatkan saingan kelayakan di petak kelapan apabila hanya mencatat masa terbaik 1:51.395s. – KOSMO! ONLINE